Ahad, 18 Oktober 2009

SEPASANG KASUT YANG BERBEZA

     Dua hari yang lalu saya menonton filem Cina, kisah antara seorang penulis dengan penyampai radio. Menarik juga kisahnya. Perselisihan faham antara mereka membawa kepada suatu ikatan percintaan. Tetapi itu kisah masyarakat yang berbeza budaya dan agama.
     Langkah kaki saya ke kolej hari ini seperti biasa, untuk masuk ke kelas dan menuntut ilmu yang diajar oleh pensyarah. Semoga Allah rahmati ilmu yang saya terima hari ini. Sekian lama, menunggu teman saya yang belum habis kelas saya termenung dan memikir. Entah kenapa saya teringat akan filem Cina yang berkaitan artikel si perempuan tersebut iaitu Payung. Menarik juga artikel tersebut membuatkan saya berfikir tajuk artikel saya hari ini. Ketika kaki melangkah untuk pulang, saya terfikir tentang kasut. Mungkin kerana saya memakai kasut baru hari ini (gurau je).
     Kenapa kasut? Tiada cerita lainkah? Biar apa yang ingin dipertanya oleh semua orang, kerana bagi saya jika ramai yang menghayati dan mempertimbangkan kisah kasut ini secara rasional mereka pasti insaf. Apa yang ada pada kasut? Ramai bertanya. Kenapa pakai kasut? Mestilah melindungi kaki dari sesuatu objek tajam atau apa saja. Adakah yang menarik lagi tentang kasut? Tidak letih orang bertanya. Manusia jarang memandang pada segala apa yang ada sekeliling mereka. Macam filem itu bercerita tentang Payung yang dikaitkan dengan perasaan cinta.
     Tetapi saya hendak mengaitkan kasut dengan gaya hidup manusia sekarang terutama umat yang mengaku Islam. Apa yang boleh dikaitkan? Pertanyaan lagi. Baiklah, jangan biar semua orang tertunggu-tunggu. Terlalu banyak menulis pun orang tidak suka. Betul tak? Begini kisahnya...
     Alia dan Husna berjalan-jalan di pasaraya. Ingin 'shopping' tiada duit jadi menjamu mata pun jadilah. Perjalanan pulang ke rumah, mereka menunggu di perhentian bas. 
     "Husna, tengok orang tu." sambil jari menuding kepada seseorang yang menarik perhatiannya. Husna pula menoleh untuk melihat gerangan orang yang diperkatakan itu. Justeru, mereka berdua ketawa melihatnya.
     "Kasut dia sebelah lain sebelah lain. he...he...he..." balas Husna sambil ketawa lagi. 
     "Orang gila mana tau apa pun." balas Alia yang masih ketawa.


      Kisah ini tiada kaitan antara yang hidup atau yang mati (hehehe). Tetapi bagi yang berfikir pasti dapat menilai kisah ini. Saya cuma ingin melihat dari satu perspektif yang jarang orang perkatakan bagi saya. Jika jutaan masyarakat dunia merasakan memakai kasut yang berbeza pasangannya sebagai gila kenapa dalam menjalani kehidupan seharian?
     Saban hari, kaki saya melangkah keluar melihat dunia yang sentiasa berubah tanpa sedar mahupun sedar. Masyarakat yang kian hilang sebuah kehidupan sebenar. Saya melihat dalam kehidupan umat Islam itu kian rosak akhlaknya. Gilanya seseorang yang memakai kasut yang berbeza bermakna gilalah juga bagi yang mengamalkan separuh sahaja agama Islam. Betulkah apa yang saya perkatakan? Biarlah manusia menilainya sendiri kerana akal yang dicipta Allah S.W.T. untuk berfikir.
     Segelintir umat Islam ada yang masih tidak menutup aurat. Jangan kata perempuan, lelaki pun ramai. Jika perempuan rambut terurai keluar, si lelaki kepala lutut ditayang juga. Pakaian kaum wanita apa entah lagi, sampai menjolok mata. Tetapi hairannya, solat ada juga yang tidak tinggal. Bagus!!! Namun, apa gunanya jika beramal pada suatu item dan item yang lain ditinggalkan. Allah terima ke amalan kita? Pernah tak manusia bertanya? Hanya yang takut akan segala azab Allah yang sentiasa beringat akan hal ini dan melaksanakan perintah-Nya.
     Misalnya, Alia seorang yang beribadat tetapi dalam masa yang sama dia tidak memakai tudung iaitu tidak melaksanakan hukum tuhan. Perumpamaan kasut itu dapat membuktikan iaitu sebelah kanannya mengamalkan ajaran tuhan dan yang sebelah lagi dia melanggar perintah tuhan, jadi dia gila jugalah. Itu hanya andaian bodoh dari insan kerdil ini.
     Kasut mungkin untuk dipakai bagi melindungi diri. Agama juga dipegang untuk melindungi maruah diri. Hebatnya ciptaan Allah S.W.T terhadap sesuatu untuk kita lihat dan hayati. Jika bagi semua manusia sepasang kasut yang berbeza, andai dipakai orang itu akan dikatakan gila. Jadi tidak hairanlah, jika orang yang mengamalkan separuh saja amalan agama dikatakan gila juga.
     Sebenarnya, ini hanya sebuah kisah yang tiada kaitan dengan sesiapa tetapi boleh difikir secara bersama-sama oleh manusia. Bayangkan diri ini seperti kasut, bagaiman kehidupan yang kita akan jalani jika pasangan kasutnya berbeza. Mahukah kita berdepan dengan masyarakat jika kita seorang yang waras. Fikirlah sebagai manusia yang waras bukan dengan mata hati yang hanya meletakkan nafsu ditempat utama kerana jawapannya tidak akan kita jumpai.

Ahad, 11 Oktober 2009

ALAM KIAN BISING

     Alam ciptaan Allah S.W.T ini begitu indah. Pohon-pohon yang menghijau, berbukit-bukau, berbatu-bata, bergunung-ganang, berwarna-warni dengan bunga-bungaan dan pelbagai lagi tumbuhan yang mampu memberi ketenangan jiwa kepada manusia saat memandangnya. Bahkan, haiwan yang pelbagai spesies yang terdapat di hutan rimba, hutan tropika, hutan paya dan banyak lagi kawasan yang didiaminya menjadi alam ini indah untuk dinikmati manusia. Flora dan fauna yang ada bukan ciptaan yang sia-sia kepada manusia tetapi banyak manfaatnya. 
     Misalnya, manusia menggunakan pelbagai jenis tumbuhan untuk mengubati penyakit, mencantikkan rupa, membersihkan diri dan sebagai sumber makanan dalam menjalani kehidupan harian dimuka bumi. Haiwan juga menjadi sumber keperluan hidup manusia. Keperluan hidup yang penting sekali di bumi Allah kepada manusia dari dahulu sampai sekarang sudah tentu air. Jadi tidak hairanlah tiga per empat dari permukaan bumi ini mengandungi air berbanding keperluan asas lain. Air menjadi sumber keperluan asas yang paling penting untuk minum, membersihkan diri dan banyak lagi gunanya.
     Namun, kerakusan manusia dalam memodenkan kehidupan banyak menhancurkan muka bumi ini. Bukit-bukau dan gunung-ganang ditarah untuk mendirikan bangunan-bangunan pencakar langit. Hutan-hutan diterokai hingga habitat flora dan fauna terjejas dan turut pupus. Malah air yang menjadi nadi kepada hidupan alam juga turut tercemar akibat permodenan yang melampau. Betullah kata Allah "manusia tidak pernah puas walaupun telah diberi nikmat". 
     Kehidupan manusia yang berkejar-kejar atau berlumba-lumba untuk membuktikan kemajuan teknologi sehingga melupakan keadaan bumi yang semakin tenat merupakan faktor alam ini kian suram tanpa keindahan. Bagaimana generasi masa hadapan ingin melihat alam ini? Hanya pertanyaan yang tidak dapat dijawab oleh manusia sendiri.
     Kini, negara dilanda pelbagai masalah alam seperti gempa bumi, cetusan gunung berapi, tsunami, taufan, ribut, kemarau berpanjangan, tengkujuh dan sebagainya. Saat ini, alam kian bising. Sedar atau tidak manusia akan kesilapan dalam menjaga alam saat melihat bumi mula bertindak. Mungkin ada yang sedar akan hal ini dan juga manusia yang mengambil ringan akan segala kejadian alam yang melanda dunia. 
     Bumi sudah tua. Beribu-ribu tahun ia wujud menjadi tempat tinggal manusia. Oksigen juga kian berkurangan akibat tumbuhan yang telah berkurangan. Kepanasan pula kian melampau. Jerebu sudah tidak tahu tebal mana. Begitu uzur bumi ini hanya Allah yang tahu. Tetapi manusia masih rakus menebang pokok, membuang sisa toksik dan pelbagai lagi yang mampu mencemarkan alam.
     Sekian lama, pelbagai penyakit wujud akibat alam. Namun, ia berpunca daripada kegiatan manusia itu sendiri. Air yang diminum tercemar. Oksigen yang disedut tidak lagi bersih. Tumbuhan dan haiwan yang menjadi sumber makanan juga turut tercemar. Bahan-bahan kimia menjadi kebiasaan buat manusia. Jadi, kesihatan manusia sebenarnya tidak lagi terjamin yang menyebabkan pelbagai wabak yang timbul. Misalnya, selesema babi (H1N1), selesema burung, influenza A, taun, penyakit kulit dan banyak lagi.
      Alam kian bising.....
     Tindak balas alam terhadap manusia yang selalu lepas amanah dalam menjaga amanah tuhan yang tidak terhingga ini. Alam yang cantik dibiarkan tercemar oleh tangan-tangan jahat yang hanya ingin mencari kepuasan materialistik hingga lupa akan tanggungjawab kepada alam. Jangan disalah pada bumi bila ia mula bertindak. Tindakkannya tidak dijangka. Kehidupannya mencantikkan dan mengindahkan alam tidak dihargai. Bagaimana manusia mampu melindungi alam.
      "Cintailah apa yang kita ada dan sentiasa bersyukur dengan nikmat pemberian Ilahi.

Sabtu, 3 Oktober 2009

KASIH SAHABAT

Saat takdir tuhan menemukan kita
Kau dan aku saling berkasih sayang
Bersama mengharungi liku hidup
Begitu indah saat itu

Susah dan senang kita bersama
Saat air matamu mengalir
Aku disisi mengusap lembut
Tiada apa seindah persahabatan ini

Namun tuhan lebih tahu
Aku dan kau harus berpisah
Tanpa tahu apa terjadi
Kita sudah tidak bersua

Semakin dewasa diri ini
Semakin dalam rindu kasihku
Semakin kuat niat hatiku
Bilakah kita akan bersua?

Pertanyaanku tanpa jawapan
Aku sedar belum masanya
tapi hati kian merindu
Kerana ini kasih sahabat

Percayalah...
Saat ini dan selamanya
Aku mengenang kenangan kita
Biar menjadi memori indah
Seindah syurga yang dijanji Allah

Ahad, 27 September 2009

KENALILAH KELUARGAKU...


Ni adik lelakiku bersama anak saudara (comelkan???)
Keluarga kami biasa je. Ayah dah lama tak kerja. Pencen kata kan...
Tapi alhamdulillah rezeki menghantar kami semua belajar sampai ada yang sudah menjejak kaki ke universiti. Umi pula suri rumah tangga. Biasalah mengasuh dan mendidik kami adik-beradik. Adikku ni diberi nama Mohammad Zaki setelah sekian lama memikirkan nama yang sesuai. Namun kami tidak diberi pendidikan agama secara formal sangat di sekolah kerana kami hanya bersekolah rendah dan menengah biasa. Tatkala, ayah kami mengajar agama ketika berada dalam kagat jadi dan umi yang juga pernah belajar di sekolah agama, maka tidak hairanlah jika kami terdedah juga pada pendidikan agama di rumah. Malah, kami mengaji Al-Quran hanya di rumah dengan berguru kepada ayah dan umi.



Gambar ini pula, keluarga saya tapi masih tidak cukup kerana ada lagi yang tidak balik raya. hendak buat macam mana semua sudah bekerjaya. Alhamdulillah saya panjatkan kepada Allah kerana dimurahkan rezeki buat kakak dan abang-abangku. Anak saudara saya ada 2 orang tapi yang bongsu saja beraya di kampung. Keluargaku ramai perempuan. Kami lapan beradik campur ayah dan umi semestinya sepuluh. Seorang saja yang telah mendirikan rumahtangga iaitu kakak sulong saya. Banyak lagi kalau nak diceritakan tentang keluarga saya. Setakat ini saya bersyukur dianugerahkan kehidupan sebegini.

EIDULFITRI



"Selamat Hari Raya Aidilfitri"

        Kepada,
                Umi dan Ayah, maaf zahir dan batin. Semoga diberikan kesihatan yang baik buat kalian berdua. Juga kakak, abang ngah, abang lang dan adik-adik semoga bergembira di hari lebaran ini. Tidak lupa juga kepada saudara mara, jiran tertangga dan umat Islam seluruhnya. Semoga Ramadhan kita diterima Allah S.W.T dan bergembiralah kita di hari mulia lagi barakah ini.