Ahad, 11 Oktober 2009

ALAM KIAN BISING

     Alam ciptaan Allah S.W.T ini begitu indah. Pohon-pohon yang menghijau, berbukit-bukau, berbatu-bata, bergunung-ganang, berwarna-warni dengan bunga-bungaan dan pelbagai lagi tumbuhan yang mampu memberi ketenangan jiwa kepada manusia saat memandangnya. Bahkan, haiwan yang pelbagai spesies yang terdapat di hutan rimba, hutan tropika, hutan paya dan banyak lagi kawasan yang didiaminya menjadi alam ini indah untuk dinikmati manusia. Flora dan fauna yang ada bukan ciptaan yang sia-sia kepada manusia tetapi banyak manfaatnya. 
     Misalnya, manusia menggunakan pelbagai jenis tumbuhan untuk mengubati penyakit, mencantikkan rupa, membersihkan diri dan sebagai sumber makanan dalam menjalani kehidupan harian dimuka bumi. Haiwan juga menjadi sumber keperluan hidup manusia. Keperluan hidup yang penting sekali di bumi Allah kepada manusia dari dahulu sampai sekarang sudah tentu air. Jadi tidak hairanlah tiga per empat dari permukaan bumi ini mengandungi air berbanding keperluan asas lain. Air menjadi sumber keperluan asas yang paling penting untuk minum, membersihkan diri dan banyak lagi gunanya.
     Namun, kerakusan manusia dalam memodenkan kehidupan banyak menhancurkan muka bumi ini. Bukit-bukau dan gunung-ganang ditarah untuk mendirikan bangunan-bangunan pencakar langit. Hutan-hutan diterokai hingga habitat flora dan fauna terjejas dan turut pupus. Malah air yang menjadi nadi kepada hidupan alam juga turut tercemar akibat permodenan yang melampau. Betullah kata Allah "manusia tidak pernah puas walaupun telah diberi nikmat". 
     Kehidupan manusia yang berkejar-kejar atau berlumba-lumba untuk membuktikan kemajuan teknologi sehingga melupakan keadaan bumi yang semakin tenat merupakan faktor alam ini kian suram tanpa keindahan. Bagaimana generasi masa hadapan ingin melihat alam ini? Hanya pertanyaan yang tidak dapat dijawab oleh manusia sendiri.
     Kini, negara dilanda pelbagai masalah alam seperti gempa bumi, cetusan gunung berapi, tsunami, taufan, ribut, kemarau berpanjangan, tengkujuh dan sebagainya. Saat ini, alam kian bising. Sedar atau tidak manusia akan kesilapan dalam menjaga alam saat melihat bumi mula bertindak. Mungkin ada yang sedar akan hal ini dan juga manusia yang mengambil ringan akan segala kejadian alam yang melanda dunia. 
     Bumi sudah tua. Beribu-ribu tahun ia wujud menjadi tempat tinggal manusia. Oksigen juga kian berkurangan akibat tumbuhan yang telah berkurangan. Kepanasan pula kian melampau. Jerebu sudah tidak tahu tebal mana. Begitu uzur bumi ini hanya Allah yang tahu. Tetapi manusia masih rakus menebang pokok, membuang sisa toksik dan pelbagai lagi yang mampu mencemarkan alam.
     Sekian lama, pelbagai penyakit wujud akibat alam. Namun, ia berpunca daripada kegiatan manusia itu sendiri. Air yang diminum tercemar. Oksigen yang disedut tidak lagi bersih. Tumbuhan dan haiwan yang menjadi sumber makanan juga turut tercemar. Bahan-bahan kimia menjadi kebiasaan buat manusia. Jadi, kesihatan manusia sebenarnya tidak lagi terjamin yang menyebabkan pelbagai wabak yang timbul. Misalnya, selesema babi (H1N1), selesema burung, influenza A, taun, penyakit kulit dan banyak lagi.
      Alam kian bising.....
     Tindak balas alam terhadap manusia yang selalu lepas amanah dalam menjaga amanah tuhan yang tidak terhingga ini. Alam yang cantik dibiarkan tercemar oleh tangan-tangan jahat yang hanya ingin mencari kepuasan materialistik hingga lupa akan tanggungjawab kepada alam. Jangan disalah pada bumi bila ia mula bertindak. Tindakkannya tidak dijangka. Kehidupannya mencantikkan dan mengindahkan alam tidak dihargai. Bagaimana manusia mampu melindungi alam.
      "Cintailah apa yang kita ada dan sentiasa bersyukur dengan nikmat pemberian Ilahi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan