Dua hari yang lalu saya menonton filem Cina, kisah antara seorang penulis dengan penyampai radio. Menarik juga kisahnya. Perselisihan faham antara mereka membawa kepada suatu ikatan percintaan. Tetapi itu kisah masyarakat yang berbeza budaya dan agama.
Langkah kaki saya ke kolej hari ini seperti biasa, untuk masuk ke kelas dan menuntut ilmu yang diajar oleh pensyarah. Semoga Allah rahmati ilmu yang saya terima hari ini. Sekian lama, menunggu teman saya yang belum habis kelas saya termenung dan memikir. Entah kenapa saya teringat akan filem Cina yang berkaitan artikel si perempuan tersebut iaitu Payung. Menarik juga artikel tersebut membuatkan saya berfikir tajuk artikel saya hari ini. Ketika kaki melangkah untuk pulang, saya terfikir tentang kasut. Mungkin kerana saya memakai kasut baru hari ini (gurau je).
Kenapa kasut? Tiada cerita lainkah? Biar apa yang ingin dipertanya oleh semua orang, kerana bagi saya jika ramai yang menghayati dan mempertimbangkan kisah kasut ini secara rasional mereka pasti insaf. Apa yang ada pada kasut? Ramai bertanya. Kenapa pakai kasut? Mestilah melindungi kaki dari sesuatu objek tajam atau apa saja. Adakah yang menarik lagi tentang kasut? Tidak letih orang bertanya. Manusia jarang memandang pada segala apa yang ada sekeliling mereka. Macam filem itu bercerita tentang Payung yang dikaitkan dengan perasaan cinta.
Tetapi saya hendak mengaitkan kasut dengan gaya hidup manusia sekarang terutama umat yang mengaku Islam. Apa yang boleh dikaitkan? Pertanyaan lagi. Baiklah, jangan biar semua orang tertunggu-tunggu. Terlalu banyak menulis pun orang tidak suka. Betul tak? Begini kisahnya...
Alia dan Husna berjalan-jalan di pasaraya. Ingin 'shopping' tiada duit jadi menjamu mata pun jadilah. Perjalanan pulang ke rumah, mereka menunggu di perhentian bas.
"Husna, tengok orang tu." sambil jari menuding kepada seseorang yang menarik perhatiannya. Husna pula menoleh untuk melihat gerangan orang yang diperkatakan itu. Justeru, mereka berdua ketawa melihatnya.
"Kasut dia sebelah lain sebelah lain. he...he...he..." balas Husna sambil ketawa lagi.
"Orang gila mana tau apa pun." balas Alia yang masih ketawa.
Kisah ini tiada kaitan antara yang hidup atau yang mati (hehehe). Tetapi bagi yang berfikir pasti dapat menilai kisah ini. Saya cuma ingin melihat dari satu perspektif yang jarang orang perkatakan bagi saya. Jika jutaan masyarakat dunia merasakan memakai kasut yang berbeza pasangannya sebagai gila kenapa dalam menjalani kehidupan seharian?
Saban hari, kaki saya melangkah keluar melihat dunia yang sentiasa berubah tanpa sedar mahupun sedar. Masyarakat yang kian hilang sebuah kehidupan sebenar. Saya melihat dalam kehidupan umat Islam itu kian rosak akhlaknya. Gilanya seseorang yang memakai kasut yang berbeza bermakna gilalah juga bagi yang mengamalkan separuh sahaja agama Islam. Betulkah apa yang saya perkatakan? Biarlah manusia menilainya sendiri kerana akal yang dicipta Allah S.W.T. untuk berfikir.
Segelintir umat Islam ada yang masih tidak menutup aurat. Jangan kata perempuan, lelaki pun ramai. Jika perempuan rambut terurai keluar, si lelaki kepala lutut ditayang juga. Pakaian kaum wanita apa entah lagi, sampai menjolok mata. Tetapi hairannya, solat ada juga yang tidak tinggal. Bagus!!! Namun, apa gunanya jika beramal pada suatu item dan item yang lain ditinggalkan. Allah terima ke amalan kita? Pernah tak manusia bertanya? Hanya yang takut akan segala azab Allah yang sentiasa beringat akan hal ini dan melaksanakan perintah-Nya.
Misalnya, Alia seorang yang beribadat tetapi dalam masa yang sama dia tidak memakai tudung iaitu tidak melaksanakan hukum tuhan. Perumpamaan kasut itu dapat membuktikan iaitu sebelah kanannya mengamalkan ajaran tuhan dan yang sebelah lagi dia melanggar perintah tuhan, jadi dia gila jugalah. Itu hanya andaian bodoh dari insan kerdil ini.
Kasut mungkin untuk dipakai bagi melindungi diri. Agama juga dipegang untuk melindungi maruah diri. Hebatnya ciptaan Allah S.W.T terhadap sesuatu untuk kita lihat dan hayati. Jika bagi semua manusia sepasang kasut yang berbeza, andai dipakai orang itu akan dikatakan gila. Jadi tidak hairanlah, jika orang yang mengamalkan separuh saja amalan agama dikatakan gila juga.
Sebenarnya, ini hanya sebuah kisah yang tiada kaitan dengan sesiapa tetapi boleh difikir secara bersama-sama oleh manusia. Bayangkan diri ini seperti kasut, bagaiman kehidupan yang kita akan jalani jika pasangan kasutnya berbeza. Mahukah kita berdepan dengan masyarakat jika kita seorang yang waras. Fikirlah sebagai manusia yang waras bukan dengan mata hati yang hanya meletakkan nafsu ditempat utama kerana jawapannya tidak akan kita jumpai.